Followers

Wednesday, February 23, 2011

Nabi Muhammad SAW Baring Di Atas Riba Isterinya

Kadang-kadang orang kita silap persepsi  dengan menyangka bahawa budaya romantik itu datang dari Barat. Mereka  menyangka Islam menganjurkan sikap tegas dalam hubungan  lelaki-perempuan, hatta di kalangan suami isteri. Sangkaan begini  terbukti silap.

Sebenarnya orang kita masih lagi terbelenggu  dengan amalan kebanyakan masyarakat rumpun Melayu yang kadang-kadang  malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul  budaya romantis dan kering dalam bercinta.  Yang lebih  ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main  romantik, tetapi bila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan hanya  tahu romantik ketika di atas katil.

Sikap ini berbeza dengan sifat romantis  Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam yang sentiasa bergaul dengan  isteri dengan penuh mesra dan ceria. Kedudukan Baginda yang begitu  tinggi di sisi Allah dan masyarakat tidak menghalang Baginda untuk  bersama dengan isteri dengan penuh rasa cinta dan kasih.

Hal ini dapat dilihat daripada hadis riwayat Aisyah yang berkata;

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ رَأْسَهُ فِي حِجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ وَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ

Maksudnya;
"Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di  ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula  membaca Al-Quran" (Sunan Ibni Majah : 626)

Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala  menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam  keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak  menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya  kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.

Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita  tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik  perasaan cinta itu.

Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk  meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitu juga, pihak isteri  pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu  sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan  ibunya yang mahu bermanja.

Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat  disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan  dunia, mahupun keuntungan di akhirat.

Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan  keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud  dalam kehidupan berumah tangga.

Dari hadis ini juga, kita akan dapat melihat  betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan  berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah  terdahulu.

Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang  perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan  undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang  buangan dan barang terpakai.

Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam  yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara  fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.

Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra  dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda  di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang  berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan  nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba  Isterinya.

Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi (Aun  Al-Ma'bud : 1/305.) menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh  bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan  bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga  menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran  berhampiran dengan najis.

3 comments:

fana said...

gut info.. bulehh cube~

kitakesitu said...

good entry! =) mari bermanja-manja.ups pas kawen la tp.huhu

Zulaikha Mohamad said...

hi there.. first time visiting here.. thanks for sharing and may i copy this plz?? thanks a lot in advance.. :-)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...